Sep 18, 2025 14:20 JST

Source: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Produk Tiruan yang Dijual dalam Talian di Malaysia Mengancam Pematuhan Halal, Kesihatan Pengguna dan Sektor E-Dagang


Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) (kiri) dan Rajen Manickar, Pengasas Holista Colltech (kanan) memberi taklimat kepada media bagi menyuarakan kebimbangan serius mengenai penjualan suplemen minyak ikan tiruan dalam talian di Malaysia yang menggunakan sijil halal palsu

KUALA LUMPUR, Sept 18, 2025 - (ACN Newswire) - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang terhadap kemunculan produk kesihatan tiruan yang dijual secara dalam talian dengan sijil halal palsu.

Ketua Aktivis PPIM , Nadzim Johan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap syarikat-syarikat yang terbabit.

Nadzim berkata, jika tidak ditangani dengan segera, amalan haram ini boleh menjejaskan kesihatan awam dan keyakinan umat Islam terhadap pematuhan syariah dan panduan dalam Malaysia. Ia juga mengancam perniagaan tempatan yang patuh syariah dan menggunakan platform e-dagang.

Nadzim memaklumkan bahawa mereka telah mengadakan perbincangan segera dengan Holista Colltech Limited (“Holista”) berkaitan laporan polis yang difailkan baru-baru ini.

Laporan itu dibuat mengenai produk tiruan minyak ikan Omega-3 jenama PRISTIN® milik syarikat tersebut yang dijual di dua platform e-dagang popular, Lazada dan Shopee.

Holista, yang beribu pejabat di Petaling Jaya dan disenaraikan di Australian Securities Exchange, memfailkan laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia selepas mendapatkan sampel produk tiruan.

Ujian makmal bebas mendapati produk tersebut diperbuat daripada minyak kelapa sawit berkualiti rendah dan bukannya Omega-3 yang berasal dari ikan.

Holista ialah peneraju pasaran di Malaysia untuk jualan suplemen Omega-3 yang dijual di bawah dua jenama utama – PRISTIN® GOLD OMEGA-3 FISH OIL 1200MG SOFTGEL dan PRISTIN® OMEGA-3 FISH OIL 1200MG. Kedua-dua produk ini disahkan halal.

Nadzim berkata pihaknya mengesahkan produk Holista hanya dijual di farmasi berlesen Kementerian Kesihatan Malaysia dan di kedai dalam talian milik Holista, iaitu Alterni.com dan Holista.global.

 "Kami bimbang dengan kemunculan produk tiruan sebegini. Di tengah-tengah peningkatan aktiviti e-dagang di Malaysia, kami risau jika ada lagi kes produk tiruan lain yang belum dikesan oleh pihak berkuasa".

Nadzim  juga menekankan tiga isu penting:

1. Pertama, sijil halal adalah elemen penting dalam agama Islam. Jika logo halal disalahgunakan secara terang-terangan, umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia akan hilang keyakinan terhadap pensijilan produk, sumber, dan proses pengeluarannya.

2. Kedua, produk sebegini sengaja mengelak pihak berkuasa berkaitan yang mengawasi keselamatan dan pematuhan suplemen. Produk ini bukan sahaja tidak menyumbang kepada kesihatan, malah sebenarnya membahayakan pengguna.

3. Ketiga, sebagai negara majoriti Muslim dengan populasi muda yang besar, Malaysia adalah pasaran e-dagang yang berdaya maju dan dihormati oleh ummah antarabangsa kerana amalan Islam dan pematuhan halalnya. Pelanggaran seperti ini akan membawa kesan serius kepada perniagaan yang patuh syariah jika tidak ditangani dengan segera dan tegas.

PPIM menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) – yang menyelia aktiviti dalam talian – dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Kementerian Hal Ehwal Agama untuk menyiasat platform e-dagang yang digunakan bagi penjualan produk tiruan ini dan mengenal pasti syarikat atau individu yang terlibat.

Nadzim menambah, pemain industri seperti rangkaian farmasi dan Persatuan Suplemen Diet Malaysia juga harus mengadakan perbincangan segera untuk meredakan kebimbangan dalam kalangan pengguna, termasuk umat Islam.

Mengenai PPIM:

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah ditubuhkan pada Jun 1997 oleh sekumpulan doktor, pensyarah universiti, akademik Islam dan individu, berikutan masalah yang dihadapi oleh pengguna Muslim dalam mengenal pasti produk halal. PPIM merupakan sebuah organisasi pendidikan yang memberi kesedaran kepada umat Islam mengenai produk halal. Laman web rasminya menyediakan senarai produk halal dan haram, soalan lazim (FAQ), forum, muat turun, saluran aduan pengguna serta berita terkini.

Untuk Maklumat Media, sila hubungi:
Puan Zura (Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM))
Alamat emel: ppimmedia1@gmail.com
No. talipon: +60 13 6116666

Source: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Sectors: Retail & eCommerce, Healthcare & Pharm

Copyright ©2025 ACN Newswire. All rights reserved. A division of Asia Corporate News Network.


Latest Release

More Latest Release >>